Cara Pengiraan Markah Merit

 

Lepasan SPM 2009 Bagi Kemasukan Ke IPTA Sesi Akademik 2010/2011

 

Cara pengiraan merit kemasukan pelajar ke IPTA bagi Program Pengajian
Lepasan SPM atau setaraf adalah berdasarkan prinsip meritokrasi dengan
mengguna pakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum yang
diselaraskan dengan sistem penggredan baru keputusan SPM oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mulai Sesi Akademik 2010/2011.

Mulai 2010 bagi calon Lepasan SPM 2009, KPM akan melaksanakan sistem
penggredan baru bagi Sijil Peperiksaan Malaysia. Penggredan baru tersebut mewujudkan
peringkat kelulusan A+.

Sehubungan itu, KPT juga akan melaksanakan kaedah pengiraan markah merit
terkini dengan perubahan kecil kepada kaedah sedia ada. Pengiraan merit
adalah berdasarkan nilai gred mata pelajaran bagi tujuan pengiraan markah.

Pengiraan markah merit calon adalah merangkumi proses penentuan aliran,
penyediaan dan pengiraan merit serta penyediaan susunan merit.


Penentuan Aliran

Kaedah penentuan aliran bagi semua calon ialah dengan mengguna pakai 4
daripada 5 mata pelajaran utama seperti berikut :

*Aliran Sains*

* Matematik
* Matematik Tambahan
* Fizik
* Kimia
* Biologi atau Pengajian Kejuruteraan Awam / Pengajian Kejuruteraan
Elektrik & Elektronik / Pengajian Kejuruteraan Mekanikal / Reka
Cipta / Lukisan Kejuruteraan / Ekonomi Rumah Tangga / Teknologi
Maklumat / Prinsip Akaun / Perdagangan / Ekonomi Asas / Sains
Pertanian / Pengajian Agro Teknologi / Pengetahuan Sains Sukan

*Aliran Sastera*

* Bahasa Malaysia
* Matematik
* Sains
* Sejarah
* Pengajian Islam / Pendidikan Al-Quran dan As-Sunah / Pendidikan
Syariah Islamiah / Pengetahuan Moral

Pengiraan Merit

1. Pengiraan merit adalah berdasarkan komponen Markah Akademik (90%)
dan Markah Kokurikulum (10%).
2. Pengiraan markah merit adalah berdasarkan nilai gred mata
pelajaran
3. Kaedah Pengiraan Markah Akademik seperti berikut :
* 90 markah bagi 5 mata pelajaran utama.
* 30 markah bagi 3 mata pelajaran terbaik yang lain.

Pengiraan Merit Aliran Sains

Kaedah Pengiraan Markah Akademik Aliran Sains seperti berikut :

1. 90 markah daripada 5 mata pelajaran berikut:-
1. Matematik
2. Matematik Tambahan
3. Fizik
4. Kimia
5. Biologi atau salah satu dari mata pelajaran berikut:
Pengajian Kejuruteraan Awam/ Pengajian Kejuruteraan Elektrik
& Elektronik / Pengajian Kejuruteraan Mekanikal / Reka Cipta
/ Lukisan Kejuruteraan / Ekonomi Rumah Tangga/ Sains
Pertanian/ Pengajian Agro Teknologi /Teknologi Kejuruteraan
/ Teknologi Maklumat / Prinsip Akaun / Perdagangan / Ekonomi
Asas / Pengetahuan Sains Sukan
2. 30 markah daripada 3 mata pelajaran terbaik SPM lain yang diambil.

*Contoh Pengiraan*

1. Andaikan keputusan peperiksaan calon aliran sains yang mengambil 9
mata pelajaran;

1. Bahasa Melayu A+
2. Bahasa Inggeris A+
3. Pendidikan Islam A+
4. Sejarah A+
5. Matematik A+
6. Matematik Tambahan A
7. Fizik A-
8. Kimia A
9. Biologi A

2. Pengiraan markah akademik untuk 5 mata pelajaran utama (Aliran Sains)

1. Matematik A+ = 18
2. Matematik Tambahan A = 16
3. Fizik A- = 14
4. Kimia A = 16
5. Biologi A- = 14
JUMLAH 78

3. Pengiraan markah akademik bagi 3 mata pelajaran terbaik SPM lain yang
diambil (Aliran Sains)

1. Bahasa Melayu A+ = 18
2. Bahasa Inggeris A+ = 18
3. Pendidikan Islam A+ = 18
JUMLAH 54

4. Markah Akademik Bagi Pengiraan Markah Merit Pelajar

Markah Akademik = Markah Mata Pelajaran + Markah Mata Pelajaran Utama
Aliran Terbaik

Markah Mata Pelajaran Utama Aliran = (78 x 90)/90 = 78
Markah Mata Pelajaran Terbaik = (54 x 30)/54 = 30

*Jumlah Markah Akademik *
= (Markah MP Utama Aliran + Markah MP Terbaik)120 x 90
= (78 + 30)/120 x 90
= *81*

Pengiraan Merit Aliran Sastera

Kaedah Pengiraan Markah Akademik Aliran Sastera seperti berikut :

1. 90 markah dari 5 mata pelajaran berikut :-
1. Bahasa Melayu
2. Matematik
3. Sains
4. Sejarah
5. Pendidikan Islam / Pendidikan Al–Quran dan As-Sunnah /
Pendidikan Syariah Islamiah / Pengetahuan Moral ;
2. 30 markah daripada 3 mata pelajaran terbaik yang lain.

*Contoh Pengiraan*

1. Andaikan keputusan peperiksaan calon aliran sastera yang mengambil 9
mata pelajaran;

1. Bahasa Melayu A+
2. Bahasa Inggeris A+
3. Pengetahuan Moral B+
4. Sejarah C+
5. Matematik B
6. Sains B
7. Perdagangan C+
8. Ekonomi Asas C
9. Ekonomi Rumah Tangga A

2. Pengiraan markah akademik untuk 5 mata pelajaran utama (Aliran Sastera)

1. Bahasa Melayu A+ = 18
2. Matematik B = 10
3. Sains B = 10
4. Sejarah C+ = 8
5. Pengetahuan Moral B+ = 12
JUMLAH 58

3. Pengiraan markah akademik bagi 3 mata pelajaran terbaik SPM lain yang
diambil (Aliran Sastera)

1. Bahasa Inggeris A+ = 18
2. Ekonomi Rumah Tangga A = 16
3. Sejarah C+ = 8
JUMLAH 42

4. Markah Akademik Bagi Pengiraan Markah Merit Pelajar

Markah Akademik = Markah Mata Pelajaran + Markah Mata Pelajaran Utama
Aliran Terbaik

Markah Mata Pelajaran Utama Aliran = (58 x 90)/90 = 58
Markah Mata Pelajaran Terbaik = (42 x 30)/54 = 23.3

*Jumlah Markah Akademik*
= (Markah MP Utama Aliran + Markah MP Terbaik)/120 x 90
= (58 + 23.3)/120 x 90
= *60.9*

Penyediaan Susunan Merit (Ranking)

1. Susunan Merit (ranking) disediakan berdasarkan Markah Akademik
(90%) dan Markah Kokurikulum (10%).
1. Jika masih sama (tie), jumlah Gred A+ diperoleh diambil kira ;
2. Jika masih sama (tie), jumlah markah akademik diambil kira ;
3. Jika masih sama (tie), jumlah markah kokurikulum diambil kira ;
4. Jika masih sama (tie), jumlah Gred A (A+, A dan A-) yang
diperoleh pemohon akan diambil kira ;
2. Gred A+ dijadikan penunjuk pertama jika pelajar mempunyai markah
merit yang sama. Justeru nilai A+ adalah bersamaan dengan nilai 1.
3. Gred A yang merangkumi A+, A dan A- juga dijadikan penunjuk
penyusunan merit calon jika berlaku persamaan (tie).

Majoriti Ibu Bapa Sokong hukuman Rotan

LONDON: Penyelidikan yang dilakukan kerajaan menunjukkan sebahagian ibu bapa percaya hukuman berat adalah ‘kaedah kawalan berkesan’ kepada pelajar dan berkata tingkah laku kanak-kanak semakin teruk sejak amalan merotan dihapuskan.

Mereka berkata, keputusan untuk mengharamkan hukuman itu menyumbangkan kepada peningkatan masalah disiplin di kalangan pelajar.

Komen itu – dalam kajian yang disokong oleh Jabatan Kanak-Kanak, Sekolah dan Keluarga – didedahkan beberapa bulan selepas satu perlima guru menggesa hukuman rotan diperkenalkan semula untuk mengawal ke-adaan dalam kelas.

Minggu ini, laporan oleh Ofsted menunjukkan kaedah disiplin tradisional seperti menggantung persekolahan beratus-ratus pelajar bermasalah pada satu masa dan melarang pelajar membotakkan kepala atau memakai pakai-an berjenama adalah pencegahan yang baik.

Hukuman berat, termasuk penggunaan rotan dan pembaris, dihapuskan di sekolah kerajaan pada 1987 dan 1998 di sekolah persendirian.

Dalam kajian terbaru, jabatan berkenaan mengadakan temubual dengan 48 orang dewasa untuk mengukur sejauh mana pandangan mereka mengenai tingkah laku golongan muda.

Apabila diminta menggambarkan apa yang mereka rasa menjadi punca penurunan mutu disiplin, mereka mengemukakan beberapa sebab berdasarkan pemantauan umum. – Agensi

 

 

Berita Pendidikan

 

PENDIDIKAN UNTUK 1MALAYSIA

 

KUALA LUMPUR, 26 Feb - Menurut statistik yang dikeluarkan Unesco tahun lalu, Malaysia berada pada kedudukan ke-11 dalam senarai 137 buah negara yang memperuntuk perbelanjaan paling tinggi kepada sektor pendidikan.

Secara purata, peruntukan kepada sektor pendidikan di Malaysia bagi dekad ini ialah sekitar 25.2 peratus daripada keseluruhan bajet negara, menjadikan sektor pendidikan antara penerima peruntukan terbanyak daripada kerajaan.

Dengan peruntukan yang besar sedemikian, sistem pendidikan di negara ini melalui proses transformasi dan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Tidak lain tujuannya ialah untuk menjamin kualiti pendidikan di samping melahirkan masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan daripada segala-galanya.

Sebagai prasyarat penting untuk mana-mana negara mencapai kejayaan, nilai pendidikan turut dijadikan sebagai satu daripada teras di dalam gagasan 1Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa proses pendidikan tidak hanya berlaku di dalam kelas sahaja. Sebaliknya, proses itu ialah proses seumur hidup yang dilakukan di dalam dan luar bilik darjah.

Ia akan membentuk rakyat Malaysia yang berupaya berfikir dan bertindak tanpa terlalu mementingkan diri sendiri, malah lebih mementingkan masyarakat setempat mereka.

Selain itu, nilai pendidikan ditekankan kerana kekuatan dan ketahanan sesebuah negara berasaskan kepada masyarakat yang berpendidikan dan berpengetahuan mengatasi kekuatan ketenteraan.

 

  

 

 

 

Pelajar tahfiz Pahang cemerlang

 

 

 


 
Sebahagian pelajar cemerlang PMR, Maahad Tahfiz Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur yang mendapat keputusan 9A gembira menerima keputusan peperiksaan itu di Kuantan, Pahang, semalam. – UTUSAN/Mahathir Ali


 

KUANTAN 24 Dis. – Berpegang kepada prinsip untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat, seramai 19 bakal hafiz Sekolah Maahad Tahfiz Pahang, Tanjung Lumpur di sini mendapat 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan hari ini.

Bagi mereka, kesibukan menghafal al-Quran seharian bukan penghalang untuk muncul sebagai pelajar cemerlang dalam akademik.

Lebih membanggakan, kebanyakan ‘ustaz muda’ yang mampu menghafal 30 juzuk al-Quran itu turut cemerlang dalam kegiatan kokurikulum terutama sukan menunggang kuda, memanah dan reka cipta robotik apabila ada di kalangan mereka pernah mewakili negeri di peringkat kebangsaan.

Seorang pelajar, Mohd. Nazmi Nordin, 15, yang berasal dari Kampung Tok Sira di sini berkata, daya ingatan yang tinggi dalam penghafalan al-Quran mungkin antara rahsia kejayaannya mendapat 9A dalam PMR.

Anak bongsu daripada enam beradik itu memberitahu, dia sering mengulangkaji pelajaran selepas solat subuh kerana waktu itu daya ingatannya masih segar.

‘‘Saya juga kerap menunaikan solat hajat dan membaca serta menghafal al-Quran sebelum solat subuh,” katanya yang pernah mendapat anugerah Tunas Jaya peringkat kebangsaan dua tahun lalu.

Selain mencapai keputusan cemerlang dalam PMR, anak kepada seorang peniaga itu pernah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan menghafal al-Quran peringkat negeri dua tahun lalu.

Mohd. Nazmi juga terlibat secara aktif dalam sukan memanah dan menunggang kuda selain pernah mewakili sekolahnya dalam pertandingan robotik peringkat negeri baru-baru ini.

Seorang lagi bakal hafiz yang mendapat 9A dalam peperiksaan itu ialah Norly Erfariza Ibrahim, 15, yang kini berjaya menghafal 26 daripada 30 juzuk al-Quran sejak dua tahun lalu.

Anak sulung daripada empat beradik itu bersetuju dengan pandangan Mohd. Nazmi bahawa ingatannya ketika mengulangkaji pelajaran semakin kuat apabila semakin banyak juzuk al-Quran yang dihafalnya.

‘‘Saya kerap mengulangkaji pelajaran selepas pukul 12 tengah malam kerana sebelum itu saya penuhkan masa dengan menghafal al-Quran.

‘‘Dalam pada itu, saya menjadikan solat qiamullail sebagai amalan harian,” katanya yang berazam untuk mengulangi kejayaan cemerlangnya itu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lagi.

 

 

Pelajar Cemerlang SPM & STPM 2008 Dirai Dengan Imbuhan Kewangan

|

 

Hari Sabtu yang menakjubkan buat dua orang pelajar cemerlang dalam SPM dan STPM yang baru diumumkan baru-baru ini. Mohamad Hafizueddin Abdul Karim, pelajar cemerlang STPM 2008 dan Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal pelajar terbaik SPPM 2008 keduanya menerima sumbangan imbuhan, bertemu menteri yang berbeza dalam situasi yang berbeza.

Seorang di Kelantan dirai dalam sebuah majlis, manakala seorang lagi di Pulau Pinang dikejutkan dengan lawatan ke rumahnya.

Kita tengok kisah mereka, semoga jadi sumber inspirasi untuk yang bakal menduduki SPM dan STPM tahun ini pula.

Pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Mohamad Hafizueddin Abdul Karim agak terkejut melihat kedatangan Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ke rumah keluarganya di sini, Sabtu.

Mohamad Hafizueddin, pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Onn di sini, berkata beliau terharu apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menyampaikan imbuhan kewangan atas pencapaian cemerlangnya.

"Saya amat terharu apabila Nor Mohamed sanggup meluangkan masa untuk menyampaikan imbuhan kepada saya," katanya pelajar berusia 19 tahun di rumah keluarganya di Teluk Air Tawar Indah, Tasek Gelugor, dekat sini.

Anak kedua daripada lima adik-beradik itu memperoleh 4 prinsipal A dalam subjek Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi dan Pengajian Am.

"Saya cadang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang supaya saya dapat membantu keluarga pada masa depan," kata Mohamad Hafizueddin yang bekerja di kilang pau di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Teluk Ayer Tawar ketika menunggu keputusan STPM.

Bagaimanapun, ibu Mohamad Hafizueddin, Zalina Ishak, yang menyara keluarga selepas kematian suaminya dalam kemalangan jalan raya pada 2005, berkata beliau tidak menjangka anaknya dapat memperoleh keputusan cemerlang.

Ibu tunggal berusia 40 tahun itu menjalankan perniagaan pasar malam di sekitar Seberang Jaya.

"Saya sentiasa menasihatkan anak-anak saya supaya belajar dengan tekun supaya dapat mengubah nasib dan masa depan mereka," katanya.

Sementara itu, Nor Mohamed berkata Mohamad Hafizueddin adalah pelajar contoh yang mampu mencapai kejayaan dalam pendidikan walaupun kehidupannya susah selepas pemergian ayahnya.

"Dia terpaksa membantu ibunya di pasar malam dan bekerja sambilan di kilang bagi meringankan bebanan hidup sekeluarga," katanya.

Dalam pada itu, pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal pula hari ini menerima hadiah wang tunai RM4,000.

Hadiah dari Yayasan Nelayan Malaysia dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia itu disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed di sini.

Nik Nur Madihah, 18, anak nelayan dari Kampung Sabak, Pengkalan Chepa, Kelantan mendapat 20 A (19 A1, I A2) dalam SPM tahun lepas.

"Kita bangga dengan pelajar SM (Agama) Maahad Muhammadi Kota Baru ini, yang bapanya merupakan seorang nelayan sementara ibunya seorang tukang cuci," kata Mustapa semasa menyerahkan sumbangan itu kepada Nik Nur Madihah pada majlis sambutan Bulan Veterinari, di sini.

"Kejayaan Nik Nur Madihah membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dicapai sekiranya kita ada kesungguhan," tambah beliau.

(Sumber: Bernama)

Sebenarnya, ramai lagi pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM. Namun begitu, yang berbeza adalah ruang sosio ekonomi keluarga pelajar tadi patut diambil iktibar oleh kita semua. Seperti firman Allah dalam Surah Al-Insyirah (5-6) " Sesungguhnya dalam kesulitan, tetap ada kemudahan".

 

 

Ilmu kunci kedaulatan Melayu

 

PUTRAJAYA 5 Mei, Utusan Online – Orang Melayu diingatkan bahawa kunci kedaulatan mereka di negara ini hanya boleh ditemui jika diri mereka dilengkapi ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi.

Veteran UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata, beliau sebenarnya amat risau dengan gelagat yang ditunjukkan oleh sebahagian besar anak muda Melayu yang terang-terang mengabaikan pelajaran.

Tegasnya, tanpa ilmu pengetahuan usahkan kedaulatan mustahil diperoleh, malah lebih teruk lagi orang Melayu akan terumbang-ambing dan merempat di tanah air sendiri.

“Memang Malaysia yang dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu milik orang Melayu dan pada masa sama kita tidak pula menidakkan hak kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Namun jika tidak ada pelajaran dan kebolehan dalam persaingan dunia global sekarang, kita pasti akan hilang segala-galanya. (Penguasaan) ilmu pengetahuan itulah kunci kedaulatan Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Kongres Permuafakatan Melayu semalam yang sebulat suara bersetuju menubuhkan sekretariat tetap yang dikenali sebagai Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) bagi memantau, mempertahankan dan melaksanakan semua tuntutan berkaitan kedaulatan Melayu.

Menurut Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein, sekretariat itu akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat dengan penglibatan jawatankuasa terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Resolusi Kongres Permuafakatan Melayu yang mengandungi pelbagai tuntutan bagi mempertahankan kedudukan Melayu itu diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Iskandar.

Ia mengandungi tuntutan yang merangkumi aspek perlembagaan, politik, ekonomi, agama Islam, bahasa Melayu, pendidikan, sosial dan budaya, termasuk syor menubuhkan MMMM.

 

 

Transformasi pendidikan bermula 2010

 KUALA LUMPUR 12 Jun , Utusan Malaysia Online– Kementerian Pelajaran akan melaksanakan transformasi sistem pendidikan bermula 2010 bagi meningkatkan kualiti akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, transformasi tersebut akan melibatkan beberapa perubahan dari segi kurikulum dan sistem peperiksaan sekolah.

“Kami akan buat perubahan dari segi kandungan kurikulum supaya ia menjadi lebih menarik dan seronok serta tidak membebankan pelajar.

“Kita nak wujudkan konsep ‘pelajar berlari ke sekolah dan berjalan pulang ke rumah’ sebagai menunjukkan betapa mereka seronok dan teruja untuk menimba ilmu di sekolah,’’ katanya ketika berucap merasmikan sambutan hari guru peringkat daerah Hulu Langat di sini hari ini.

 

 

 

Gejala Sosial Pelajar Terengganu; Pil Kuda, Alkohol, Rempit dan Seks Bebas - ADK

Sunday, 16 August 2009 09:32 Wartawan Buletin

 

KUALA NERUS – Penglibatan para pelajar di negeri Terengganu dengan gejala sosial penyalahgunaan dadah dan seks bebas adalah amat membimbangkan.


Pegawai Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) Encik Azmi Abdullah mendedahkan, seramai 106 orang penagih baru dikesan sepanjang bulan Januari hingga April, 2009.

Beliau berkata agensi tersebut telah membuat ujian air kencing keatas para pelajar diseluruh negeri Terengganu dan mendapati seramai 3650 orang pelajar adalah positif menggunakan dadah.

Dari jumlah tersebut katanya, seramai 59 orang adalah dikategorikan sebagai penagih dan 39 daripadanya mengalami ketagihan pil kuda.

 

Ibu pelajar tampar guru pasti bersebab 

ISU ibu pelajar menampar guru lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis, Kangar yang disiarkan akhbar baru-baru ini menarik perhatian kerana ia dianggap pelik dan tidak sepatutnya berlaku dalam dunia pendidikan moden masa kini.

Kita tidak boleh membuat andaian melulu kecuali selepas mendapat penjelasan pihak terbabit dan pentadbir sekolah. Sebagai insan prihatin, kita simpati dengan kejadian menimpa pelajar yang ditampar guru dan guru ditampar ibu pelajar.

Dari sudut sosiologi pendidikan, perkara ini berlaku mungkin disebabkan kedua-dua pihak tidak dapat mengawal perasaan. Guru tidak dapat mengawal perasaan berikutan masalah disiplin pelajar berkenaan.Ibu pelajar naik angin dan menampar guru mungkin disebabkan tidak puas hati dengan penjelasan sekolah terhadap tindakan itu.


Sebagai ibu bapa dan bekas pemimpin Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) beberapa sekolah rendah dan menengah lebih 15 tahun, saya berpendapat perkara ini tidak berlaku jika semua pihak memahami dan patuh peraturan sekolah yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran. 

 

 

Kuil haram halang pembinaan padang sekolah

 

JOHOR BAHRU: Jabatan Pelajaran Negeri Johor meminta kerjasama masyarakat India tempatan dan parti politik supaya menyegerakan pemindahan sebuah kuil Hindu haram bagi membolehkan pembinaan sebuah sekolah menengah di sini, disiapkan mengikut jadual.

Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran, berkata usaha kontraktor untuk menyiapkan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusa Damai yang hampir 100 peratus siap terhalang akibat kegagalannya membina padang sekolah kerana terdapat kuil berkenaan di situ.

"Kesemua infrastruktur dan kemudahan sekolah itu termasuk bangunan bilik darjah dan asrama sudah pun siap dibina. Bagaimanapun disebabkan kedudukan kuil itu, kontraktor tidak boleh menyiapkan pembinaan padang sekolah yang juga adalah infrastruktur terakhir bagi membolehkan pembinaan sekolah itu siap sepenuhnya sebelum diserahkan kepada jabatan," katanya hari ini

 Markom berkata, usaha berunding bagi memindahkan kuil haram itu sudah pun dimulakan pada 2004 tetapi sehingga kini belum ada jalan penyelesaian sehingga menjejaskan pembinaan sekolah itu.

Beliau berharap isu itu dapat diselesaikan dengan segera kerana apabila pembinaan SMK Nusa Damai itu siap, ia akan dapat membantu menyelesaikan masalah kesesakan yang dihadapi oleh beberapa sekolah berhampiran.

"Apabila SMK Nusa Damai itu siap dan beroperasi kelak, sejumlah 600 pelajar Sekolah Menengah Kota Masai dan antara 300 dan 600 pelajar Sekolah Menengah Taman Cendana akan berpindah ke sekolah baru ini," katanya.


 

Fokus pembangunan karektor pelajar: Dr M

 

SINTOK: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mencadangkan pendidikan berteraskan pembangunan karektor pelajar dilaksanakan secara formal di sekolah untuk melahirkan generasi yang berilmu dan berakhlak di negara ini pada masa depan.

Beliau berkata, penekanan terhadap pembentukan karektor perlu kerana negara memerlukan pelapis yang mempunyai ilmu serta kemahiran tinggi namun seiring dengan pembangunan karektor sejak di bangku sekolah.

Katanya, ia perlu diterapkan di sekolah secara formal dan tanggungjawab ini boleh dipikul guru agama dengan memberi penekanan terhadap pembangunan karektor tanpa dicampur aduk dengan hal lain terutama politik.

"Kini pembangunan karektor tidak berlaku secara serius bahkan dalam pendidikan agama juga tidak berlaku secara terperinci bagi membentuk karektor supaya menjadi generasi seimbang dari segi pendidikan dan nilai diri.

"Mereka perlu ditekankan apa yang baik dan buruk untuk negara supaya jika menjadi bijak pandai ia akan menjadi insan berguna. Kalau setakat bijak tetapi tidak berakhlak ia tidak berguna bahkan satu kerugian kepada negara.

"Pembangunan pendidikan di negara ini pada saya amat pesat sehingga mendapat perhatian pelajar luar yang yakin dengan tahap pendidikan di sini.

"Bagi saya perlu pelaksanaan membangunkan karektor pelajar dimulakan dari peringkat paling bawah," katanya selepas menyampaikan ucaptama Kolokium Pendidikan Negeri Kedah anjuran Persatuan Kecemerlangan Pendidikan Negeri Kedah di Dewan Mu'adzam Shah, Universiti Utara Malaysia, semalam. Beliau diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali.


 

 

SKPB sedia sudut info digital salur maklumat

Oleh Anuar Ahmad

24 Februari 2010 - SEKOLAH Kebangsaan Parit Bingan (SKPB), Batu Pahat, Johor berusaha meningkatkan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan menyediakan Sudut Info Digital bagi menyalurkan maklumat mengenai aktiviti murid dan guru kepada warganya.

Guru Besar SKPB, Shahabudian Ishak, berkata kemudahan berbentuk skrin interaktif itu diletakkan di kantin sekolah dengan dilengkapi aplikasi seperti tulisan, visual dan bunyi.

“Sudut itu dapat dimanfaatkan murid dan guru dalam menjana proses pembelajaran sains dan teknologi menggunakan ICT. Usaha ini secara tidak langsung menggalakkan murid berinteraksi di antara mereka dalam suasana lebih selesa” katanya.

 

 

Tingkat bahasa Inggeris

Oleh Noor Azlina Zainudin
azlina@nstp.com.my

10 sekolah rendah di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dapat manfaat

23 Februari 2010 - BRITISH Council komited dalam usahanya membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan generasi muda dengan memantau perkembangan projek Belajar Bahasa Inggeris Keluarga yang diperkenalkannya tahun lalu di 10 sekolah rendah terpilih sekitar Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Lima sekolah di Brickfields, Kuala Lumpur iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Brickfields (1), SK La Salle Brickfields (1), SK (Perempuan) Methodist 1, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) St Teresa dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Vivekananda. Selebihnya di Seremban, iaitu SK St Paul, SJKT Lorong Java, SK Ampangan, SJKC Kampung Baru Rahang dan Sekolah Rendah Islam Seremban.

Projek yang dibangunkan British Council dan Kementerian Pelajaran dengan kerjasama HSBC dan Scholastic Malaysia itu dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan ibu bapa dan guru-guru di sekolah terbabit sentiasa bekerjasama untuk meningkatkan prestasi murid.

Pasukan pemantau terdiri daripada Pemangku Kerusi British Council (BC) dari United Kingdom, Gerard Lemos dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Operasi Pendidikan, Kementerian Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim melawat ke SJKT Ladang Java bagi meneliti perkembangan dan meninjau pelaksanaan projek ini yang membabitkan murid Tahun Satu.