HOBI REMAJA
Dunia yoyo Shakeel
Oleh Fairuz ZaidaN
Seolah-olah melekat di celah jari setiap kali anak muda ini menghayunkan yoyo ke atas, bawah dan belakang. Kenali Raja Yoyo Malaysia, Muhammad Shakeel Mohd Rose…
DERETAN piala dan yoyo pelbagai warna dan saiz yang tidak terhitung jumlahnya, cukup menggambarkan betapa hebatnya figura anak muda ini dalam dunia yoyo tempatan.
Pada usia baru 24 tahun, Muhammad Shakeel atau lebih mesra dengan panggilan Shakeel sudah menikmati pencapaian hebat dalam dunia yoyo hingga bergelar Raja Yoyo Malaysia bagi kategori free hand.
Berkat kesungguhan dan minat mendalam dalam permainan yoyo, siapa sangka bermula sebagai hobi, akhirnya Shakeel mengecapi kedudukan tertinggi dalam dunia yoyo di Malaysia.
“Saya sendiri tidak menyangka mampu mencapai tahap sekarang kerana dulu yoyo sekadar hobi malah ia hanyalah permainan semusim.
“Malah, saya pernah berhenti bermain yoyo tetapi aktif semula selepas melanjutkan pengajian peringkat Diploma dalam animasi di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada 2004,” kata Shakeel yang mula mencipta nama setahun kemudian di peringkat kebangsaan.
Shakeel yang bekerja separuh masa sebagai pakar animasi 3D berkata, beliau bertuah bertemu dengan ramai pemain yoyo berbakat. Mereka banyak membantu anak muda ini meningkatkan kemahiran bermain yoyo. Jangan tidak tahu, dalam senarai rakan baiknya termasuklah juara yoyo peringkat dunia, Hiro Yuki dari Jepun!
Berkongsi rutin latihannya, anak kelahiran Kuala Lumpur ini berlatih secara serius selama tiga jam sehari setiap kali mahu menyertai siri kejuaraan peringkat kebangsaan atau antarabangsa.
“Tahun ini adalah paling mencabar untuk saya kerana berdepan dengan tiga kejuaraan penting. Ini menjadi kayu pengukur kemampuan sebenar saya dalam acara yoyo,” cerita anak muda ini.
Bermula dengan pertandingan yoyo peringkat kebangsaan yang dijadual berlangsung bulan depan, Shakeel akan menyertai pertandingan yoyo peringkat Asia Pasifik pula selepas itu.
“Saya berharap dapat menyertai kejuaraan yoyo antarabangsa di Amerika Syarikat (AS) akhir tahun ini,” kata Shakeel yang giat berlatih bagi mempertahankan kejuaraan keempatnya dalam siri yoyo kebangsaan.
Menggemari rutin 5A iaitu suatu kategori dalam seni persembahan yoyo, Shakeel berharap mampu mencipta kejutan berganda tahun ini. Beliau berhasrat mempertahankan tiga gelaran serentak yang dicapainya tahun lalu iaitu kategori rutin Single A, 4A dan 5A.
Pemain sehebat Shakeel tidak lengkap andai tidak memiliki teknik bermain yoyo yang menjadi trademark tersendiri. Kata Shakeel, beliau mencipta teknik smash trapeze sejak dua tahun lalu dan terus menjadi identitinya.
“Bagi kejuaraan kebangsaan, saya berjaya mengekalkan kedudukan selama empat tahun berturut-turut. Manakala saya menduduki tempat ketiga peringkat Asia Pasifik sebanyak dua kali.
“Adalah menjadi harapan saya untuk menyertai kejuaraan peringkat dunia di AS akhir tahun ini. Saya mensasarkan berada di kelompok 10 pemain yoyo terbaik dunia... InsyaAllah,” kata Shakeel yang menyimpan koleksi lebih 100 yoyo.
Perlumbaan kereta kawalan jauh semakin aktif
NORMAWATI AH ADNAN
Acara perlumbaan kereta kawalan jauh kini tidak hanya melibatkan golongan dewasa, malahan dalam kalangan remaja atau pelajar juga kini sudah mula dilihat begitu aktif dalam kegiatan sukan seperti ini.
Selain itu, permainan kereta kawalan jauh juga tidak hanya merupakan sebagai sejenis hobi, malah kini sudah ada yang mula melibatkan diri secara serius dengan sukan ini.
Pelbagai pertandingan juga kini semakin banyak dianjurkan termasuk dengan satu kejohanan anjuran Kelab Belia Berwawasan Sungai Besar, dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Sabak Bernam baru-baru ini.
Penyertaan dalam pertandingan tersebut juga menerima sambutan menggalakkan dan menarik minat orang ramai menyertainya.
Pengerusi Kelab Belia Berwawasan Sungai Besar, Mahathir Ahmad Jajuli berkata, 40 penyertaan dengan peserta termuda berumur 9 tahun diterima sempena kejohanan yang julung kali diadakan itu.
Menurutnya, pertandingan dibuat secara ujian masa ke atas litar sepanjang 350 meter.
“Kebanyakan peserta membawa kereta sendiri, bagaimanapun, kita telah menyediakan khidmat sewaan kereta dengan kadar RM2 pada hari pertandingan yang turut mendapat sambutan menggalakkan,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup dan penyampaian hadiah yang disempurnakan Pegawai Belia dan Sukan daerah, Siti Norwinah Narawi di sini.
Mahathir berkata, litar berkenaan akan dijadikan pusat permainan kereta kawalan jauh sebagai salah satu kaedah kelab menggalakkan lagi permainan sihat di kalangan belia Sungai Besar.
Dalam kejohanan tersebut, pelajar Tingkatan 1, Mohamad Shahrul Sham Abdul Rahman mengalahkan 39 peserta lain dengan catatan masa 43.31 saat menjuarai kejohanan perlumbaan kereta kawalan jauh berkuasa bateri anjuran Kelab Belia Berwawasan Sungai Besar dengan Kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Sabak Bernam di sini.
Mohamad Shahrul dari Parit 3 Timur, meninggalkan dua pesaing terdekatnya, M. Riduan Sahlan, 25, dengan perbezaan masa 3.25 saat dan rakannya, M Riduan Jamal, 13, di tempat ketiga dengan catatan masa 48.55 saat.
Mohamad Shahrul ketika ditemui nyata terkejut dengan catatan yang dapat dilakukan apatah lagi dengan keadaan keretanya mengalami kerosakan di saat-saat akhir.
“Memang tak sangka boleh menang, pada catatan masa terakhir tu, ayah beri sokongan untuk buat yang terbaik dan atas keyakinan itu buat saya menang kejohanan ini,” katanya.
Sementara itu, salah seorang peserta, Abdul Rahman Yaakob, 37, berkata, ketiadaan kemudahan lengkap terutama litar bermain menyebabkan sukan kereta kawalan jauh di kawasan itu terkubur begitu sahaja.
Dia yang aktif dalam sukan kereta kawalan jauh sejak 15 tahun dahulu berkata, setiap kali bermain, mereka terpaksa mendapatkan kemudahan litar di tempat lain.
“Di sini tidak ada kemudahan, nak main kena pergi tempat lain jadi ramai yang mula tinggalkan permainan ini sedangkan ia suatu hobi yang sihat dan sesuai untuk seisi keluarga,” katanya.
Bapa kepada Mohamad Shahrul ini juga berkata, penganjuran kejohanan perlumbaan kereta kawalan jauh berkuasa bateri yang dianjurkan Kelab Belia Berwawasan Sungai Besar merupakan permulaan yang baik terhadap sukan berkenaan.
Matlamat untuk menubuhkan kelab dalam sukan itu juga, katanya diyakini mendapat sokongan daripada pelbagai peringkat umur.
Caster Board
DUNIA sukan lasak sentiasa berkembang. Jika sebelum ini skateboard (papan selaju) sungguh popular dan menjadi kegemaran remaja, kini muncul pula caster board.
Nyata, dengan pelbagai suntikan teknologi baru, caster board bukan saja memiliki reka bentuk lebih menarik, malah mampu meluncur lebih pantas serta sesuai untuk golongan kanak-kanak hingga dewasa.
Kata penggemarnya, dengan menggunakan caster board, meluncur di jalanan seolah-olah ada di atas lautan.
Lebih menarik, papan laju dua roda itu mudah dikuasai peluncur dengan hanya menggerakkan kaki ke depan dan belakang sambil mengimbang tubuh bagi mengawal kelajuan.
Jika diperhatikan, pergerakan menggunakan caster board tidak banyak mengundang risiko berbahaya, tetapi ia memerlukan seni kawalan yang lebih unik berbanding skateboard.
Di negara ini, caster board masih di peringkat pengenalan berbanding negara luar seperti Eropah dan Jepun. Namun, minat terhadap permainan ini cepat menular di kalangan kanak-kanak dan remaja yang gemar mengikuti perkembangan sukan lasak di televisyen mahupun laman web.
Bagi kanak-kanak cilik seperti Putri Nurrien Faqhira Abdul Halim, 7, dan abangnya, Fikri Habibullah, 11; Ibrahim Salam Norhisham, 12; Chong Wei Chern, 11, dan Banu Nabila Meejamuddeen, 10, kebolehan mereka menguasai caster board dalam masa kurang enam bulan sangat membanggakan.
Kemahiran mereka melakukan pecutan ketika beraksi di tapak luncur persis peluncur berpengalaman memang menarik perhatian, lebih-lebih lagi cara mereka melakukan tipu helah untuk melemahkan lawan ketika di selekoh tajam.
Menurut Putri Nurrien, dia mula tertarik untuk menyertai sukan luncur selepas melihat kecenderungan abangnya yang giat melakukan pelbagai aksi dan latihan menggunakan caster board keluaran Prowave.
"Atas dorongan keluarga, saya menyertai pelbagai jenis sukan lasak dan mencabar sebelum mengambil keputusan mendaftar dengan Prowave.
"Terjatuh dan cedera menjadi perkara biasa dalam aktiviti ini. Yang penting, kami dapat mempertingkatkan kemahiran meluncur dari semasa ke semasa," katanya.
Menurut Putri Nurrien, dia hanya mengambil masa singkat untuk menguasai ilmu mengemudi papan laju miliknya sebelum menyertai Fast & Furious Prowave Swift Board Competition 2009, anjuran Prowave Singapura di Danga City Mall, baru-baru ini.
"Caster board ini baru dibeli dan ia mudah dikuasai berbanding skateboard biasa Ini bermakna pemain boleh melakukan lebih banyak aksi dengan caster board," katanya.
Sementara itu, Pengurus Operasi Prowave, Felix Chen, berkata pihaknya mengeluarkan alat sukan berkenaan dari Singapura dengan jenama Prowave.
"Objektif utama Prowave mengadakan pelbagai promosi dan pertandingan caster board adalah untuk menarik minat lebih ramai remaja dan kanak-kanak menjalani gaya hidup sihat.
"Selain itu kami mahu sukan ini menjadi budaya hidup yang lebih mesra, sekali gus meningkatkan tahap kreativiti, mental, fizikal serta daya saing di kalangan pemain," katanya.
Felix berkata, sukan itu masih baru di Asia namun menerima sambutan hebat bukan saja di kalangan remaja dan kanak-kanak, malah turut disertai warga emas.
"Sehingga kini, walaupun kami bermula dari Singapura, negara republik itu masih ketinggalan daripada segi mengadakan pertandingan atau acara besar berbanding Malaysia," kata pengurus muda berusia 21 tahun itu.
INFO
> Caster board adalah sejenis papan selaju menggunakan dua roda yang digerakkan dengan tenaga manusia
> Ia berukuran kira-kira 90 sentimeter hingga satu meter, lebar (23 hingga 25 sentimeter) dan tinggi (12-15 sentimeter)
> Ia tidak mempunyai banyak perbezaan dengan skateboard atau 'Xlider'
> Alat sukan itu menggabungkan dua platform berasingan yang memerlukan seni pergerakan unik untuk menggerakkannya
> Setiap platform dilengkapi satu roda tunggal yang memerlukan permukaan rata sebagai tapak luncur
KIUB RUBIK
YANG kurang sifat penyabar tentu menganggap permainan kiub rubik sebagai sesuatu yang membosankan dan remeh, tetapi bagi yang fokus hingga berjaya menyelesaikannya pasti akan berpuas hati kerana dapat menempuh segala 'kesukaran'.
BEGINI...pemain kiub rubik cuba menyelesaikan kesukaran.
KOLEKSI...tiga sekawan bersama pelbagai jenis kiub rubik.
Lebih menarik, mereka bukan hanya dapat menyelesaikannya dengan pantas tetapi juga dengan pelbagai gaya. Kiub rubik yang digunakan pula bermacam jenis, daripada berbentuk memanjang hinggalah kepada bentuk tetrahedron (piramid) dan oktahedron (berlian).
Bagi mereka, permainan itu sebenarnya mudah jika dapat menghafal dan menggunakan formula matematik dengan betul sebagai asas untuk menyelesaikan petak yang ada mengikut warna serupa.
Walaupun masyarakat di Malaysia tahu mengenai permainan kiub rubik dan pernah mencubanya, tetapi tidak ramai menceburinya sebagai permainan yang serius hingga mampu menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.
Begitulah yang dilakukan oleh kumpulan anak muda ini yang bukan hanya meminati permainan kiub rubik, tetapi sanggup berhabis wang ringgit mengumpul bermacam jenis kiub rubik dan mempelajari permainan itu.
Mohd Ahlami Othman, 18, berkata dia mula terbabit secara serius dalam permainan berkenaan sejak dua tahun lalu selepas melihat ramai rakannya bermain di sekolah.
"Ketika itu ia seperti 'trend' kerana ramai yang bermain tetapi tidak meneruskan kegemaran itu hinggakan yang tinggal hanya saya serta beberapa rakan.
"Sesiapa yang meminati matematik tentu gemar bermain permainan ini kerana ia ada kaitan antara satu sama lain iaitu menghafal formula untuk lebih memudahkan permainan," katanya.
Mengikut sejarahnya, kiub rubik adalah permainan teka-teki mekanik yang dicipta pada 1974 oleh Erno Rubik, profesor seni bina dari Hungary. Beliau sangat meminati bidang geometri serta bentuk tiga dimensi.
Erno kemudian memperoleh paten Hungary, HU170062, untuk kiub berkenaan pada 1975, tetapi tidak memohon sebarang paten antarabangsa dan kiub rubik pertama dikeluarkan pada lewat 1977 untuk dijual di kedai mainan Budapest.
Kiub rubik kemudian menjadi semakin popular di seluruh Hungary. Pada September 1979, persefahaman dicapai oleh syarikat Ideal Toys untuk mengeluarkan 'Kiub Magic' pada peringkat antarabangsa dan seterusnya berjaya menarik banyak perhatian dalam pameran mainan di London, England; New York, Amerika Syarikat; Nuremberg, Jerman dan Paris di Perancis pada awal 1980.
Kemudian, versi kiub yang lebih ringan dicipta dan syarikat Ideal Toys memutuskan untuk memberi nama baru dengan beberapa cadangan nama berpotensi seperti The Gordian Knot dan Inca Silver dipertimbangkan, tetapi akhirnya syarikat terbabit memutuskan nama 'Kiub Rubik'.
Selepas diperkenalkan, permainan berkenaan memenangi anugerah Mainan Tahunan BATR pada 1980 dan 1981. Banyak mainan teka-teki yang serupa dikeluarkan tidak lama kemudian seperti Dendam Rubik iaitu versi kiub 4×4×4, versi kiub 2×2×2 dan 5×5×5 (masing-masing dikenali sebagai Kiub Poket dan Profesor Rubik) serta mainan teka-teki dalam bentuk lain seperti Piraminks, sebuah tetrahedron.
Pada Mei 2005, Panagiotis Verdes dari Greece membina kiub rubik 6×6×6 dan pada 23 Mei 2006 Frank Morris, juara dunia untuk pertandingan kiub rubik, menguji versi itu serta dapat menyelesaikan versi 3×3×3 dalam masa 15 saat, versi 4×4×4 dalam 1 minit dan 10 saat, dan versi 5×5×5 dalam tempoh dua minit.
Morris kemudian mengucapkan tahniah kepada pereka kerana mencipta versi 6×6×6 yang mengambil masa 5 minit dan 37 saat untuk diselesaikan dan beliau berkata kiub yang lebih besar itu memberinya lebih kepuasan.
Pada Julai 2006, Verdes berjaya membina kiub rubik 7x7x7, sekali gus menjadi kiub terbesar ketika ini di pasaran dan juga diakui paling sukar bagi kebanyakan pemainnya.
Seperti perkembangannya di seluruh dunia, permainan kiub rubik di Malaysia juga popular dan kini wujud komuniti tersendiri yang dikenali sebagai Malaysian Cube yang kini dianggotai kira-kira 200 orang.
Mereka saling bertukar-tukar pandangan dan kemahiran sama ada melalui perjumpaan mingguan atau bulanan serta di blog atau laman web sosial seperti Facebook.
Presiden Malaysian Cube, Kong Chai Chen, berkata peminat dan sambutan terhadap permainan itu semakin ramai dari semasa ke semasa berdasarkan perbincangan dan juga maklum balas di blog.
"Pertemuan antara peminatnya juga mampu mengumpulkan sehingga 20 orang sekali bertemu di sekitar Lembah Klang, begitu juga dengan kelab yang ditubuhkan di seluruh negara.
"Tambahan pula kita pernah mengadakan Kejohanan Terbuka Malaysia pada tahun lalu, sekali gus menyebabkan lebih ramai mengenali dan tertarik dengan permainan ini," katanya.
Menurutnya, dengan perkembangan permainan itu di negara ini, ada juga wakil dari Malaysia yang mencatat kejayaan di rantau Asia Tenggara selepas penyertaan di beberapa negara seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.
Katanya, pemain negara membuktikan keupayaan di peringkat antarabangsa dan mampu ke peringkat dunia dengan berdepan jaguh dari Eropah yang terkenal dengan permainan itu.
Samuel Fong Joon-Sun pula berkata, bermain kiub rubik sebenarnya lebih kepada kepuasan diri, terutama apabila dapat menyelesaikan kesukaran dalam masa diingini.
Menurutnya, ketika ini permainan itu lebih mementingkan kepantasan menyelesaikan kesukaran, dengan ketepatan minda dalam mengira formula memainkan peranan penting dalam keadaan sebegitu.
"Satu lagi yang paling saya suka, pemain mencabar sesama sendiri bagi mendapatkan masa terbaik, sekali gus dapat membantu membentuk ketahanan mental dan fokus," katanya.
>Info
Rekod dunia kubik
SKIMBOARDING
SUKAN skimboarding mungkin masih baru atau kurang dikenali di negara ini berbanding sukan meluncur air biasa (surfing) namun ia semakin mendapat tempat, khususnya di kalangan remaja negara ini.
Tidak seperti luncur ombak, skimboarding menggunakan papan luncur bersaiz lebih kecil dan licin berbanding papan luncur biasa atau 'surfboard' yang biasanya diperbuat daripada gentian kaca atau papan nipis.
Menariknya, skimboarding bermula di tepi pantai dengan peluncur berlari dan melepaskan papan luncur di atas ombak.
Di Malaysia, sukan yang tergolong dalam acara ekstrem itu mula berkembang dan kini wujud beberapa pertandingan yang bukan saja untuk mencungkil bakat baru tetapi juga bagi mempopularkannya.
Mohd Zaris Hakimi Hasnan, 14, antara bakat muda yang menyertai sukan itu dan bergiat secara serius serta menyertai beberapa pertandingan yang dianjurkan di peringkat kebangsaan.
Menganggotai Persatuan Skimboarding Pulau Pinang (PSA), Mohd Zaris kini semakin menyinar dan menjadi antara bakat baru yang mampu diketengahkan di peringkat lebih tinggi.
Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Tokong itu, dia mula terbabit dalam aktiviti skimboarding ketika berusia 13 tahun selepas melihat rakan sekolah 'bermain' di pesisir pantai berdekatan rumahnya di Tanjung Tokong.
"Pertama kali mencuba, timbul minat dan dari situ saya mula belajar teknik membuat aksi lebih lasak," katanya kini menjadikan aktiviti berkenaan sebagai hobi.
Mohd Zaris berkata, dia pernah menyertai beberapa pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Kejohanan Skimboarding Antarabangsa Pulau Pinang; Skimboarding Jamming Port Dickson dan Kejohanan Skimboarding Antarabangsa Hard Rock Hotel Pulau Pinang.
"Aktiviti ini mengelak saya terjebak dengan kegiatan tidak berfaedah kerana kebanyakan masa dihabiskan untuk berlatih, terutama apabila hendak menyertai sesuatu pertandingan," katanya yang mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Skimboarding Penang Beach Carnival 2009 kategori terbuka, baru-baru ini.
Menurutnya, untuk bermain skimboarding, seseorang peluncur bermula dengan larian untuk mendapatkan momentum sebelum menghempaskan badan dan papan luncur ke arah ombak sebelum melakukan beberapa aksi menarik.
Katanya, tidak seperti sukan meluncur ombak yang biasa dimainkan, skimboarding juga boleh dilakukan di kawasan air cetek dan gulungan ombak yang kecil, sekali gus menjadikannya sesuai di kawasan pantai negara kita.
"Saya akui memang bermain sukan ini agak memeritkan, malah saya perlu berdepan risiko, termasuk kecederaan, ketika mempelajari teknik meluncur.
"Kerana minat, saya tidak kisah dan tidak menjadi halangan untuk terus berlatih dan mempelajari teknik baru daripada peluncur berpengalaman.
"Rakan dalam persatuan banyak membantu peluncur baru untuk terus bergiat dalam sukan ini, malah Presiden PSA, Jet Shon banyak memberi sokongan dan tunjuk ajar," katanya.
>Profil
NAMA: Mohd Zaris Hakimi Hasnan
USIA: 14 tahun
PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Bunga, Pulau Pinang
AKTIVITI: Menganggotai kelab Pearl Of the Orient Skimboards (POO) dan Persatuan Skimboarding Pulau Pinang (PSA)
PERTANDINGAN DISERTAI: Kejohanan Skimboarding Antarabangsa Pulau Pinang 2008; Skimboarding Jamming Port Dickson 2008, Kejohanan Skimboarding Antarabangsa Hard Rock Hotel Pulau Pinang 2009 dan Penang Beach Carnival 2009 (tempat ketiga)