Tips Tinggal di Asrama
28/04/2010 23:47
Di sini terdapat beberapa tip berguna bagaimana untuk menguruskan kehidupan apabila tinggal di asrama.
Positifkan diri
Tinggal di asrama merupakan momen-momen indah yang pasti dikenang sampai bila-bila, tambahan pula semangat kekeluargaan yang dipupuk semasa tinggal di asrama membuatkan ia seperti sebuah keluarga besar yang harmoni.
Malah tinggal di asrama juga sebenarnya memberi peluang untuk kita mengenal diri kita dengan lebih dekat .
Pertama kali bermalam di asrama mungkin memberi kelainan kepada diri kita, tambahan pula terpaksa tidur berlainan di tempat sendiri.
Namun, cuba positifkan diri bahawa tinggal di asrama banyak memberi kebaikan daripada keburukan serta mampu mematangkan diri kita.
Jika terpaksa berkongsi bilik asrama dengan orang lain yang tidak dikenali cuba terapkan perasaan menghormati kepada rakan sebilik.
Hormati rakan sebilik walaupun kita baru kita mengenali dirinya.
Pengurusan wang
Sementara itu, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan wang. Jika sebelum ini kita hanya diberikan wang poket untuk membeli makanan semasa waktu rehat tetapi apabila tinggal di asrama mungkin kesemuanya harus diuruskan sendiri.
Bermula dengan membeli keperluan diri sehinggalah membeli makanan dan juga membeli pakaian.
Harus diberikan peringatan, amalkan tabiat berjimat cermat, beli perkara yang penting dan di perlukan sahaja.
Jangan boros dengan membeli benda-benda yang tidak berguna selain itu, keadaan itu hanya memberi impak yang negatif pada diri sendiri.
Amalkan satu tabiat menyelamatkan wang anda daripada perkara-perkara tidak penting serta tetapkan jumlah setiap bulan wang supaya anda dapat membina satu jaring keselamatan untuk sebarang kecemasan.
Selain itu, amalkan juga sifat menabung untuk diri sendiri, biarpun dengan jumlah sedikit tapi ia sangat berguna apabila waktu kecemasan.
Jalinan hubungan
Tinggal di asrama sebenar memberi peluang untuk kita menambah kenalan dan membina hubungan sehingga ke akhir hayat kita.
Oleh itu, kutiplah pengalaman sebanyak mungkin semasa berada di asrama.
Jadikan kawan-kawan di asrama seperti adik-beradik, kongsikan bersama-sama suka dan duka.
Oleh itu, terapkan perasaan kasih sayang dan saling hormat antara satu sama lain.
Malah tidak salah jika ada yang menegur kekurangan diri, tetapi tegur secara berhati-hati jangan sampai rakan terasa dengan diri kita.
Siapkan kerja-kerja sekolah
Tinggal di asrama ada pahit dan manisnya, namun keseronokan tinggal di asrama pasti menjadi momen-momen indah yang diingati sampai bila-bila.
Jika anda diberikan kerja-kerja sekolah, teruskan menyiapkan jangan amalkan sikap lewa dan melengah-lengahkan kerja kerana memberi tekanan kepada diri sendiri.
Pupuk semangat sukakan membaca supaya dapat mempertingkatkan diri dalam pelajaran
Buat perancangan semasa belajar dan beri tumpuan sepenuhnya semasa waktu belajar.
Jadikan rakan-rakan rapat sebagai pesaing utama untuk berlumba-lumba dalam mendapat tempat terbaik semasa di kelas.
Amalkan pelajar berkumpulan serta berkongsi pendapat bersama rakan-rakan di asrama.
Pandai membahagikan masa
Sama ada anda aktif atau tidak semasa di asrama, pastikan anda tahu membahagi-bahagikan masa supaya keadaan tidak menjadi kelam kabut.
Berikan masa untuk membuat kerja-kerja rutin di di bilik asrama seperti membasuh baju dan mengemaskan bilik.
Biarpun sesibuk mana tapi amalkan kebersihan diri supaya bilik asrama sentiasa kelihatan bersih dan terurus.
Sememangnya tinggalkan asrama mempunyai keseronokan tersendiri walaupun pada awalnya kurang menyenangkan.
Namun terapkan pada diri sendiri supaya dapat mengimbangi antara waktu belajar dan juga bersosial.
Dipetik dari Mingguan Malaysia 10/01/10 Keluarga